PhD bukan syarat naikkan pangkat
29 November 2007
Berita Harian
MERUJUK kepada maklum balas daripada Kementerian Pengajian Tinggi kepada ‘Pensyarah PhD DS45’ yang disiarkan pada 16 November lalu. Saya tidak setuju dengan dasar kementerian untuk menaikkan pangkat pemegang PhD DS45 kepada pensyarah kanan DS52.
Kenaikan pangkat seorang pensyarah ke pensyarah kanan bermakna seseorang itu mesti mempunyai kecemerlangan akademik yang istimewa mutunya (Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 31 Tahun 2005).
Seseorang pensyarah tidak boleh dianggap sebagai mempunyai kecemerlangan akademik yang istimewa mutunya hanya dengan memiliki PhD. Ia seharusnya diiringi dengan ‘curriculum vitae’ yang istimewa mutunya, seperti mempunyai beberapa penerbitan jurnal pada peringkat antarabangsa.
Jika diteliti nama pada kertas persidangan, begitu ramai yang menenggek di atas kertas akademik orang lain untuk mendapatkan pengiktirafan.
Pemilik PhD harus bersyukur kerana diberikan biasiswa untuk melanjutkan pengajian di dalam dan luar negara dan tidak mendesak untuk dinaikkan pangkat hanya beralaskan PhD. Mereka harus ingat bahawa biasiswa diberikan tanpa sebarang persaingan.
Mungkin disebabkan ketiadaan persaingan, maka ramai daripada mereka gagal menghabiskan PhD dalam jangka masa yang diperuntukkan, yakni tiga tahun dan memerlukan pertambahan masa sehingga satu atau dua tahun. Dengan pertambahan elaun sara hidup sebanyak dua kali ganda mulai tahun ini, seseorang yang berada di United Kingdom, misalnya, menerima RM14,000 sebulan di samping gaji lumayannya sebagai pensyarah.
Ringkasnya, pensyarah berkenaan membelanjakan wang rakyat sebanyak lebih setengah juta untuk mendapatkan ijazah PhD di United Kingdom. Tambahan pula, kebanyakan mereka yang belajar di luar negara bekerja separuh atau sepenuh masa kerana mereka tahu bahawa Kementerian Pengajian Tinggi membenarkan mereka melanjutkan masa pengajian, sekurang-kurangnya setahun lagi dengan gaji penuh.
Jika pensyarah yang baru mendapat PhD dalam umur yang begitu muda tanpa sebarang kecemerlangan akademik yang istimewa mutunya dan dinaikkan pangkat ke pensyarah kanan, maka telah berlaku ‘triple award’ di mana mereka diberikan dua kali ganjaran untuk PhD.
Dapat biasiswa tanpa persaingan adalah ‘award’ pertama. Bila mereka ada PhD, universiti menaikkan mata gaji mereka untuk tiga tangga. Ini adalah ‘award’ kedua. Bayangkan seorang pensyarah berada di tangga gaji T3 dalam DS45 ketika pergi belajar di luar negara selama empat tahun.
Bila balik, dia berada di T10 (termasuk tiga pergerakan gaji). Kemudian, universiti pula menganggap mereka mempunyai kecemerlangan akademik yang istimewa mutu hanya semata-mata kerana PhD dan kemudian dinaikkan pangkat ke pensyarah kanan DS52 dengan gaji permulaan RM4,000 lebih.
Ini adalah ‘award’ ketiga. Ramai yang bergelar pensyarah kanan diketawakan oleh pensyarah luar negara sebab bagi mereka, bila bergelar kanan bermakna mereka ini telah banyak menulis dalam jurnal antarabangsa.
PEMERHATI KANAN,
Kuala Lumpur.