Thursday, July 10, 2008

Petani cipta alat jimat minyak

Oleh Bernama
Khamis, 10 Julai 2008

SEREMBAN: Ramai yang kini mencuba pelbagai cara mencipta alat dan teknologi jimat minyak untuk mengurangkan penggunaan petrol dan diesel dalam keadaan harga minyak mentah melambung tinggi di pasaran global.

Hisham Abdullah atau lebih dikenali sebagai "Sham Hidro" dalam kalangan penduduk di sini, tidak mahu ketinggalan membangunkan sejenis sistem penjimatan minyak berasaskan air.

Hisham, 43, menamakan alat ciptaannya "Reaktor Hidro" yang didakwanya mampu mengurangkan penggunaan petrol sehingga 60 peratus.

Beliau membuat kajian di 15 laman web memandangkan teknologi hidro pada enjin sudah lama wujud di Barat, katanya kepada Bernama di rumahnya di Taman Chengal Utama baru-baru ini.

Selepas membuat kajian rangka tindakan teknologi itu selama beberapa bulan, Hisham pada awal tahun ini berjaya memasang sistem itu ke dalam kereta Proton Iswaranya dengan menggunakan barang-barang dari kedai perkakasan binaan.

Konsep rekaannya berasaskan proses elektrolisis di mana gas hidrogen dihasilkan dan disalurkan ke dalam bahagian enjin untuk pembakaran yang lebih sempurna.

KURANG ASAP, KURANG PENCEMARAN

Hasilnya, jimat minyak, kurang asap, kurang hidrokarbon dan tentunya kurang pencemaran, kata Hisham.

"Air digunakan untuk menjana gas hidrogen. Sistem ini selamat kerana air tidak akan dimasukkan ke dalam enjin," kata petani lulusan Universiti Arkansas, Amerika Syarikat itu.

Hisham menawarkan memasang sistem itu dengan kos RM500 sebuah kereta.

Ini, katanya, lebih murah daripada yang ditawarkan bengkel dan syarikat yang menjual teknologi yang sama dengan harga RM1,800 hingga ke RM3,500.

KAUT UNTUNG?

"Saya bukan cuba mengaut keuntungan berlebihan, tapi cuma mahu membantu penduduk Negeri Sembilan yang terhimpit dengan kenaikan harga minyak.

"Kalau sudah mahal sangat sampai kos pemasangan beribu-ribu ringgit, baik pasang sistem NGV (kenderaan gas asli) saja," katanya yang menjelaskan bahawa niat awalnya mencipta sistem itu adalah untuk berjimat bagi dirinya.

Kebolehan beliau untuk memahami teknologi itu disebabkan Hisham mempunyai dua ijazah dalam bidang kejuteraan dan bidang kewangan dan bekerja sebagai jurutera di beberapa syarikat luar negara sebelum mengambil keputusan menjadi petani.

Wartawan Bernama yang tertarik dengan harga yang ditawarkan, memasang sistem itu ke dalam kereta Proton Saganya berkapasiti 1.3 liter.

Unit "Reaktor Hidro" yang dipasang itu rupa-rupanya terdiri daripada dua balang bekas alat penapis air yang biasa dipasang di rumah tetapi untuk sistem ini, balang itu dipasang di dalam bonet kereta.

Hasil ujian itu sungguh mengejutkan. Kereta yang diisi petrol RM10 yang biasanya membawa penulis ini hanya sejauh kira-kira 40km, kini boleh membawanya sehingga 75 km menggunakan alat itu.

Lebih menjimatkan lagi jika pendingin hawa ditutup dan kereta dipandu 60-80km/sejam kerana dengan RM10 untuk minyak, kereta itu boleh dibawa hingga 100 km.

TIADA ANCAMAN LETUPAN HIDROGEN

Menurut Hisham, dua balang itu memang diisi air yang mengandungi sejenis kimia dan pengguna hanya perlu menambah kandungan air yang susut tetapi dilarang membuang sama sekali air yang ada untuk diganti baru kerana bahan kimia asal akan hilang.

Beliau berani memberi jaminan kereta yang dipasang dengan sistem itu tidak akan meletup jika berlaku kemalangan atau disebabkan pembakaran enjin.

"Cuma jangan ada yang pendek akal menyalakan api untuk menguji sistem itu kerana gas hidrogen memang mudah terbakar," katanya.

Hisham setakat ini hanya memasang sistem itu untuk penduduk Seremban yang tahu mengenainya dari mulut ke mulut.

"Sejak beroperasi pada awal Mac tahun ini, saya telah memasang sistem itu kepada kira-kira 100 jenis kenderaan termasuk motosikal. Setiap kenderaan mengambil masa hanya sehari untuk dipasang," katanya.

Beliau dibantu oleh rakannya, Hadi Ahmad yang turut menyerahkan beberapa buah kenderaan termasuk pacuan empat roda dan lori miliknya bagi dieksperimen oleh Hisham.

1 Comments:

Anonymous alat jimat minyak petrol said...

Memang banyak alat jimat petrol sekarang nie di pasaran. Terkadang tak tahu mana satu menjadi pilihan.

November 30, 2010 at 1:02:00 AM GMT+8  

Post a Comment

<< Home