Friday, January 11, 2008

Syed Mokhtar: Pesanan ibu bawa berkat


Oleh HELMI MOHD FOAD




PUTRAJAYA 10 Jan. – Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary, 56, yang diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 1429 akan sentiasa mengingati pesanan ibunya, Sharifah Rokiah Syed Abdullah supaya menyumbangkan separuh daripada pendapatannya bagi membantu golongan kurang berkemampuan.

Beliau berkata, separuh daripada pendapatan pertama ketika membantu bapanya, Syed Nor Albukhary berniaga lembu sebanyak RM1,500 ketika tahun 60-an telah diserahkan kepada ibunya yang kemudian memintanya mengagihkan wang itu kepada 15 keluarga miskin di Alor Star, Kedah.

‘‘Saya guna pesanan ibu itu supaya separuh daripada pendapatan diberikan kepada orang kurang mampu, itulah yang telah memberikan saya keinsafan.

‘‘Malah sampai sekarang, sumbangan kepada 15 keluarga tersebut terus diberikan, kalau yang meninggal dunia diganti dengan orang lain.

‘‘Tuhan sudah memberikan segala nikmat, semuanya saya dah rasa, apa lagi yang kita mahu, maka nikmat itu perlu digunakan bagi faedah kepada orang ramai terutama pelajaran,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada majlis Sambutan Maal Hijrah 1429 Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Majlis penyampaian anugerah tersebut disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Melalui anugerah tersebut, Syed Mokhtar yang juga Pengerusi Yayasan Albukhary menerima hadiah wang tunai sejumlah RM60,000 yang disumbangkan oleh kerajaan manakala RM20,000 lagi oleh Yayasan Ubaidi.

Perniagaan

Syed Mokhtar yang berasal dari sebuah keluarga Arab Hadhrami kurang berkemampuan di Alor Star kini merupakan ahli perniagaan bumiputera terkaya di negara ini dengan harta bernilai RM4.16 bilion sebagaimana dinyatakan dalam Senarai Bilionair Dunia Forbes 2007.

Syarikat Kumpulan Albukhary yang dibangunkan oleh beliau kini terbabit dalam beberapa industri utama negara antaranya pengangkutan, logistik, utiliti, automotif, pertahanan, makanan dan perbankan Islam serta kewangan.

Kumpulan tersebut menubuhkan Yayasan Albukhary pada 1996 sebagai sayap kerja-kerja kebajikan dan menyalurkan dana bagi kerja-kerja amal yang kini berkembang sebagai entiti amal global antaranya penubuhan Muzium Kesenian Islam Malaysia dan Program Biasiswa Albukhary.

Sehingga 2006, yayasan tersebut menyumbang hampir RM1 bilion secara langsung kepada usaha kebajikan termasuk menyertai proses membina semula kehidupan pelarian Afghanistan, bantuan mangsa gempa di Pakistan dan Iran serta mangsa bencana tsunami di Aceh, Indonesia.

Selain itu, yayasan tersebut sedang berusaha menubuhkan hospital AIDS di Uganda, membantu kanak-kanak jalanan di Afrika dan merintis program bantuan kemanusiaan bagi mangsa perang di Iraq dan Lebanon.

Menurut Syed Mokhtar, mengenangkan kejayaan yang dicapainya sekarang daripada pesanan seorang ibu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta beliau menyerahkan hadiah wang tunai yang diterimanya itu kepada ibunya.

‘‘Saya tanya pada Pak Lah nak buat apa dengan duit RM80,000 ini, dia kata bagilah kepada ibu kerana dari situlah asal saya,” katanya.


Kejayaan

Syed Mokhtar yang mengakui inilah kali pertama beliau mendedahkan kisah hidupnya kepada media berkata, meskipun telah mengecapi kejayaan, beliau sebenarnya hanya sekadar manusia biasa dan Yang Maha Kaya itu adalah Allah.

‘‘Daripada keinsafan itu, kita cari rezeki macam tidak ada hari esok, saya usahakan sejak dari tahun 60-an dan telah melalui kepayahan dan kesakitan.

‘‘Dan sehingga hari ini syarikat lori dan beras yang merupakan perniagaan awal saya di Kedah masih terus beroperasi.

‘‘Saya adalah anak kelahiran Dasar Ekonomi Baru (DEB), melalui bantuan Mara serta UDA saya mengembangkan perniagaan tetapi melalui proses pahit maungnya dahulu,” katanya.

Jelas beliau, apabila mendapat rezeki yang banyak, ia digunakan untuk kebajikan lebih 67,700 kakitangan Kumpulan Albukhary dan selebihnya bagi membantu golongan kurang berkemampuan.

Syed Mokhtar berkata, kesempitan kewangan ketika zaman kanak-kanak sehingga tidak mampu membayar yuran peperiksaan menyebabkan beliau kini berusaha membantu pelajar-pelajar kurang berkemampuan untuk mendapat peluang pelajaran.

‘‘Saya bersekolah setakat tingkatan lima tapi tak sempat ambil peperiksaan kerana tidak mampu bayar yuran.

‘‘Jadi, mengenangkan dulu saya tidak ada peluang, bila saya dapat peluang dalam perniagaan saya fikir kena beri peluang pendidikan kepada mereka yang tidak mampu,” katanya.

Katanya, aktiviti kebajikan melalui Yayasan Albukhary diteruskan pula melalui pembinaan Kompleks Albukhary di Alor Star yang berkonsepkan pondok moden dengan dilengkapi masjid, rumah anak-anak yatim dan sekolah.

Selain itu katanya, yayasan tersebut yang dijana oleh syarikat Kumpulan Albukhary turut menyediakan program tuisyen yang sehingga kini telah melibatkan 22,000 pelajar kurang berkemampuan sejak empat tahun lalu.

Tambahnya, pihaknya kini sedang membina Universiti Antarabangsa Albukhary yang dijangka siap penghujung 2009 sebagai tempat pelajar-pelajar cemerlang kurang berkemampuan itu untuk menyambung pelajaran.

‘‘Pelajar-pelajar kurang mampu itu kita beri peluang dengan kita gajikan guru untuk mengajar mata pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris dan alhamdulillah kebanyakannya dapat maju ke depan,” katanya.

Katanya, hasil pesanan ibunya, beliau turut mengembangkan aktiviti kebajikan kepada masyarakat minoriti Islam yang tertindas dan miskin di luar negara dengan membawa pelajar-pelajar miskin tetapi cerdik untuk menyambung pelajaran di sini.

Setakat ini, katanya, seramai 372 orang pelajar dari 47 buah negara minoriti Islam sedang menimba ilmu di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di bawah tajaan Yayasan Albukhary.

Yayasan berkenaan juga menaja umat Islam kurang berkemampuan dari segi kewangan bagi menunaikan ibadah haji serta memberikan bantuan pembinaan masjid-masjid termasuk membiayai projek membaik pulih Masjid Negara di ibu negara.

‘‘Usaha membaik pulih Masjid Negara timbul apabila satu malam saya ‘berpusing- pusing’ (meninjau) kawasan sekitar Muzium Kesenian Islam, saya dapati ia terang-benderang tetapi Masjid Negara gelap... macam mana boleh macam ini,” katanya.

1 Comments:

Anonymous Anonymous said...

Benih yg jatuh di atas tanah yg subur, bukan saja memberi hasil yg baik, bahkan memberi manfaat kepada manusia menikmati hasilnya, dan persekitaran yg sihat menyumbang pula kepada suatu kitaran dan ekosistem yg baik. Itulah perumpamaan yg sesuai utk 'tanah subur' sprti Tan Sri Syed Mokhtar. Jadilah 'tanah yg subur', dgn memanfaatkan rezki pemberian Allah utk tujuan kebaikan. Insaf, insaf...

December 5, 2012 at 10:33:00 AM GMT+8  

Post a Comment

<< Home