Saturday, December 22, 2007

Pendapatan, Kerjaya, Akhirat &"Too Good To Be True"?

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net


Apabila saya menulis berkenaan saya menolak tawaran kerja dengan pendapatan lumayan dari Institusi Kewangan Islam Luar Negara kerana menerima tugas sebagai pensyarah UIAM, seorang peguam Muslim yang saya kenali menghantar beberapa sms, beliau mengakui bertambah motivasi setelah membaca artikel bertajuk "Saya bertugas di tempat baru : UIAM", namun dalam masa yang sama beliau juga menghantar satu lagi smsnya yang berbunyi :

"Dah baca laman web ustaz, ikhlas saya terfikir tentang ustaz dan cerita ustaz, macam ‘too good to be true', berlakon ke, hipokrit ke? Akhirnya saya yakin dan doakan ustaz ikhlas seperti yang ustaz perjuangkan"

Untuk maklumat, kenalan peguam saya ini juga adalah salah seorang peserta kursus kewangan Islam yang pernah saya kendalikan. Beliau baru sahaja mengorbankan pendapatannya beberapa ribu ringgit setelah beroleh keyakinan tentang besarnya dosa riba. Beliau berkorban dengan menamatkan pegangan saham dalam firma guamannya apabila mendapati majoriti pendapatan firma itu datang dari hasil menyiapkan tugasan berkaitan riba. Tahniah dan moga ia menjadi saksi buatnya di akhirat kelak.

Cerita Saya "Too Good To Be True" ?

"Too good to be true"...? Tersenyum juga saya membaca ayat ini, terasa macam tawaran untung skim cepat kaya internet pula yang menawarkan jumlah untung yang tak masuk dek akal waras.

Hakikatnya, apa yang saya ceritakan adalah benar, tiada hipokrit tiada lakonan. Adapun berkenaan ikhlas atau riya, ia bukanlah hal yang anda perlu bersusah payah memikirkannya. Ia adalah tanggungjawab saya untuk menguruskannya. Namun, anda boleh membantu dengan tolong menghulurkan doa buat saya. Sekalung terima kasih dari saya bagi yang bermurah hati.

Saya pernah terfikir, apakah yang hebat sangat dalam kisah yang saya dedahkan itu sehingga menyebabkan rakan peguam berkata demikian ?.

Mungkin kerana arus perdana kehidupan manusia hari ini yang semakin menjadikan harta dan wang sebagai target utama kehidupan. Justeru apabila didapati ada manusia yang menolak pendapatan lumayan seperti yang saya lakukan, ia kelihatan menyonsang arus sehingga menjadi pelik dan tidak masuk akal.

Saya tidaklah menolak rezeki dan harta, saya juga sepeti manusia lain yang mengidamkan pendapatan kukuh lagi lumayan, cuma saya ingin memastikan perolehan itu berbaloi dengan perolehan wang akhirat. Saya tidak mahu kerana mengutamakan perolehan wang dunia, ia menyempitkan ruang dan peluang perolehan pahala akhirat. Itu sahaja.

Saya suka mengusahakan satu kerjaya yang boleh membawa perolehan dunia yang lumayan dalam masa yang sama ia menggandakan peluang saya untuk mendapat perolehan akhirat. Akhirat lebih panjang dan perlukan lebih banyak bekalan dari dunia yang singkat ini..

Allah SWT berfirman : -

وَابْتَغِ فِيمَا آتَاكَ اللَّهُ الدَّارَ الْآخِرَةَ وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا وَأَحْسِن كَمَا أَحْسَنَ اللَّهُ إِلَيْكَ وَلَا تَبْغِ الْفَسَادَ فِي الْأَرْضِ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُفْسِدِينَ

Ertinya : "Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerusakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerusakan" (Al-Qasas : 77)

Ibn Abbas r.a berkata melalui ayat ini, Allah swt mengarahkan kita agar memanfaatkan umur sebaiknya, dan bahagian manusia adalah umur dan amal solehnya dalam hidupnya. ALh-Hasan dan Qatadah pula mengingatkan kita agar jangan menghabiskan pelaung dan umur kita hanya untuk menikmati nikmat sementara dunia yang halal. Ibn Umar pula diriwayatkan berkata

إحرث لدنياك كأنك تعيش أبدا واعمل لآخرتك كـأنك تموت غدا

Ertinya : "Bercucuk tanamlah ( berusahalah) untuk duniamu seolah kamu akan hidup selamanya, dan beramallah untuk akhiratmu seolah kamu akan menemui maut keesokan harinya" (Al-Jami' Li Ahkam Al-Quran, 13/314)

Inilah yang saya maksudkan "mengusahakan perolehan dunia yang lumayan dalam masa yang sama ia menggandakan peluang untuk mendapat perolehan akhirat yang lebih lumayan".

Kerjaya Terbaik Setakat Ini

Pendapat peribadi saya, kerjaya sebagai pensyarah adalah salah satu kerjaya yang mampu membuka ruang faedah akhirat terbesar, dalam masa yang sama mampu memberikan pendapatan dunia yang baik.

Ia juga merupakan satu jawatan yang paling kurang syubhah dari sudut pendapatan jika tepat cara pengurusannya. Memberikan ruang waktu kerja yang cukup fleksible, mendorong kita untuk terus berdamping dengan ilmu serta merangsang pemikiran dan melatih pewaris ilmu dari kalangan pelajar. Memberikan ransangan untuk menghasilkan kajian dan penulisan buat manfaat ummat dan pelbagai lagi. Wallahu'lam, mungkin anda punyai pandangan berbeza.

Dengan penjelasan ringkas ini, tiada yang ‘too good' dalam kisah yang saya coretkan sebelum ini. Apa yang ingin saya kongsikan dari kisah sebelum ini dan artikel hari ini adalah keperluan kita untuk:-

1) Merancang dan meletakkan satu target untuk melakukan tugasan yang paling besar manfaatnya buat umat Islam demi bekalan kita di akhirat. Dengannya akan bertambah banyaklah makhluk Allah mendoakan kita. Bagi mencapai ini, sebarang kepentingan peribadi yang bersifat sementara walaupun menarik mesti di letakkan dalam keutamaan rendah.

2) Keperluan konsisten dalam melaksanakan perancangan bagi mencapai target hidup yang telah diletakkan. Sudah tentu target yang perlu kita letakkan itu telah dikenalpasti mampu menyumbang manfaat paling besar berbanding yang lain. Proses meletakkan target ini memerlukan kepada pasak ilmu yang baik dan jelas agar ia tidak asyik berubah-berubah apabila ditiup angin perubahan.

Penilaian halus perlu dilaksanakan sebaik mungkin, umur dan kesihatan kita adalah terhad. Sebarang perancangan perlu realistik. Ia ibarat sebuah pelaburan yang memerlukan penelitian mendalam sebelum sebarang keputusan dibuat.

Tidak dinafikan saya mungkin akan menyimpang dari target yang telah diletakkan jika tawaran itu mampu menawarkan manfaat dunia akhirat yang lebih besar. Namun, buat masa ini belum ada tawaran yang mampu menandingi target yang telah saya gariskan.

Tawaran Demi Tawaran

Rupanya penolakan 4 bulan lalu tidak tamat di situ sahaja. Dalam 3 bulan ini sahaja saya sudah menerima sekitar 4-5 tawaran dari Institusi Kewangan Dalam dan Luar Negara yang menawarkan pendapatan yang boleh menggegarkan jiwa dan nafsu kepada harta.

Jika sebelum ini tawaran Institusi Kewangan Islam di Timur Tengah saya anggap kurang menarik kerana boleh membantutkan saya dari medan dakwah di Malaysia. Kini datang pula tawaran-tawaran dari Institusi Kewangan Islam di Malaysia.

Tawaran jawatan tidak kurang dari ‘Genaral Manager Shariah' atau ‘Vice President Shariah', dengan pendapatan yang hampir mencecah puluh ribu sebulan, ditambah lagi dengan beberapa elaun tetap kereta dan tanggungan seluruh kos pembaikan kereta. Ada juga yang menawarkan ruang untuk saya menyiapkan PhD walaupun bekerja dan lain-lain kemudahan termasuk boleh meneruskan aktiviti ceramah saya dengan bebas. Allahu akbar..sampai begitu sekali tawarannya.

Jika dipandang dari manfaat keduniaan, silaplah siapa yang sebelum ini kerap menuduh dan memandang remeh lepas pengajian agama lalu kerap dicop kurang berpotensi untuk perolehi pendapatan tinggi dalam dunia pasaran semasa. Hingga hari ini Institusi Kewangan Islam dalam dan luar Negara tidak henti-henti menagih dan mencari lepasan Shariah yang berwibawa untuk membantu mereka. Adalah anda punyai anak dewasa? Cuba halakan mereka ke bahagian ini, baik untuk dunia dan akhirat mereka. InshaAllah. Sekadar cadangan...

Jika sebelum ini semua tawaran lumayan dari Institusi Kewangan Islam Luar Negara boleh diketepikan dengan mudah, kali ini tawaran dari dalam Negara mampu menggoncang objektif saya.

Benar, ia memang menggoncang objektif dan target yang telah saya gariskan, namun ia hanya mampu menggegarkannya selama beberapa minit sahaja sebelum terpadam dari minda saya dan penilaian saya, terutamanya di ketika saya sudah mula menjalankan tugas rasmi sebagai Pensyarah UIAM. Sebuah kerjaya terbaik buat masa ini walaupun pendapatan dunianya tidak mampu menandingi tawaran-tawaran di kiri kanan.

Peluang mengajar secara tersusun bagi kepada mahasiswa secara serius, tersusun berserta ujian penilaian adalah amat berlainan dari siri pengajian awam yang saya berikan di masjid dan surau, yang mana para hadirinnya kerap mendengar kuliah dengan hanya bernotakan minda dan angin sahaja. Tiada nota, tiada pen dan biasanya lebih banyak yang lupa dari yang ingat. Namun usaha mesti diteruskan.

Keperluan mempunyai murid yang betul-betul berilmu dan bersungguh amat penting bagi menyambung saham ilmu kita selepas hari kematian. Ia juga memberikan satu bentuk kepuasan yang sukar dinilai dengan wang ringgit.

Sebenarnya banyak lagi objektif yang telah saya gariskan, namun ia tidaklah sesuai dikongsi umum disebabkan sebahagian besarnya masih lagi perancangan. Nanti jika sudah tercapai atau dalam proses yang jelas, ia akan diketahui jua. InshaAllah.

Usaha Hilangkan Ta'alluq (Ikatan) Hati Dengan Harta

Kita wajib berusaha menghilangkan keterikatan diri dan nafsu dengan harta. Sekali kita membuka ruang itu, ia amat sukar ditutup semula. Saya berusaha menutup ruang itu dari menggoda jiwa dan hati saya, dan masih lagi terus berusaha, sama-sama kita berusaha.

Ibadah Qurban di bulan Zulhijjah ini mendidik kita untuk menghilangkan keterpenjaraan kita dari kecintaan kepada harta secara berlebihan. Sekali sudah terpenjara dengan harta dunia, pasti akan bercambah lagi kesilapan lainnya, penilaian iman semakin pudar, harta haram dianggap peluang , rasuah diterima dengan rakus, riba dianggap nikmat lalu semakin gelaplah hati.

Berusahalah sedaya mampu agar pendapatan yang akan menjadi makanan kita bersih dari haram dan syubhah. Tidak dinafikan amat sukar membersihkan gaji bulanan dari syubhah terutamanya bagi yang mereka bekerja dengan waktu pelajat berdasarkan tempoh tertentu. Ia mungkin saja menyebabkan kita 'terguna'kan harta syarikat untuk kegunaan sendiri. Telah banyak kali saya ulaskan hal ini.

Malah saya sendiri banyak kali berusaha membersihkan diri dari syubhah ini. Sebagai perkongsian idea dan ilmu, antara cara yang paling kerap saya lakukan adalah :-

1) Tidak ‘claim' : Tidak ‘claim' sebarang kos yang saya gunakan untuk syarikat. Sehingga kini saya masih menyimpan resit tiket Doha-KL, tiket tersebut saya terpaksa membelinya sendiri dengan wang sendiri. Ia berlaku sewaktu saya menjalankan tugas rasmi bagi sebuah bank Islam. Kosnya hampir mencecah RM 5 ribu juga, tapi saya biarkan tanpa tuntutan bagi memotong syubhah yang mungkin berlaku sepanjang khidmat saya.

Tidak menuntut sebarang elaun tugas luar Negara dianggarkan belasan ribu ringgit. Ia tidak lain bagi menyelamatkan pendapatan saya sebelum ini. Semuanya dilakukan sebagai usaha untuk membersihkan harta perolehan, membuang syubhah atas ketidaksedaran kita sebagai manusia yang lemah dan alpa.

2) Membayar menggunakan cek : Semua syarikat yang pernah saya bertugas setakat ini, cara pertama adalah kegemaran saya, namun jika dirasakan ia tidak mencukupi, saya akan membayar melalui cek kepada syarikat dan diserahkan kepada pegawai yang berkenaan. Saya masih ingat kata-kata :

"Tak payah ni ustaz, kiaorang halalkan je" Itulah kata-kata yang masih saya ingat keluar dari lisan pegawai yang menjaga bahagian HR.

"Ooo tidak, ini hak pemilik syarikat, hanya pemilik sahaja yang boleh menghalalkannya, dan malangnya tuan bukan salah seorang pemiliknya" Balas saya diketika itu sambil menghulurkan cek tersebut.

Adakah ini "too good to be" true juga?

Tiada apa yang boleh perlu dibanggakan dengan dua tindakan di atas. Apatah lagi untuk merasa ujub dan takbur. Ia hanyalah salah satu bentuk usaha untuk membersihkan harta sahaja.

Apalah yang nak dibanggakan sedangkan ia sebenarnya salah satu bentuk taubat dan cara menebus kesilapan yang gagal dielakkan. Tiada yang sangat istimewa dengannya. Tujuan saya mendedahkannya di sini bertujuan berkongsi ilmu sambil memberikan idea buat kita untuk sama-sama melakukannya jika kita juga teralpa sewaktu waktu kerja, Itulah objektif saya menulis catatan ini dan tidak lebih dari itu.

Prinsip & Komitmen Terhadap Perancangan.

Alhamdulillah, Allah SWT memberikan saya sedikit kekuatan untuk berpegang kepada prinsip yang saya jadikan asas. Moga kita semua diberi lagi tambahan kekuatan seperti ini dari masa ke semasa.

Kita perlu sentiasa membiasakan diri dengan prinsip Islam serta menggariskan objektif jelas dalam jiwa dan hati. InshaAllah ia akan mampu menyelamatkan kita dari pelbagai godaan yang mendatang.

Anda mungkin dapat melihat dalam artikel saya berkenaan peranan wanita, aurat dan wanita bekerja dan aurat wanita apa sudah jadi. Sekiranya anda menelitinya dengan baik, saya yakin anda pasti dapat membaca kecenderungan saya yang kelihatan lebih berat menggalakkan lelaki dan wanita kembali kepada fitrah masing-masing dalam hal kerjaya, pencarian nafkah dan hal ehwal rumahtangga.

Bagi merealisasikan ilmu dan prinsip yang saya pegangi, saya sendiri telah meminta isteri untuk berhenti dari kerjanya walaupun saya terpaksa membayar RM 53,000 sebagai denda perlu dibayar kepada Kementerian Pelajaran Malaysia kerana kontrak yang telah diikat sebelum ini.

Bagi saya kontrak isteri saya (sebagai guru di sekolah menengah) ini terpaksa saya ingkari kerana ia boleh mencemari kepentingan yang lebih besar. Justeru atas dasar perjanjian, saya perlu membayar denda tersebut, ia bukan riba dan sememangnya mereka layak menuntutnya dari saya menurut pandangan Islam.

Saya rela membayarnya dari membiarkan anak-anak saya ditarbiyah kurang sempurna oleh gadis-gadis bujang tanpa pengalaman, kurang ilmu dan kurang peka di taska dan nurseri. Manakan tidak, dijaganya kanak-kanak berpuluh-puluh orang. Setakat manakah perhatian yang mampu diberi kepada anak kita.?

Anak-anakku sayang

Bagi saya, wang gaji yang diperolehi oleh isteri adalah amat tidak relevan berbanding nilai akhlak, agama dan kesihatan yang mudah terlepas pandang di pusat asuhan tersebut. Disamping itu pula, tugasan guru yang digalasnya ini bukanlah satu tugas yang begitu sukar untuk dicari penggantinya berbanding kerjaya seperti doktor dan lain-lain kerjaya yang amat kekurangan. Justeru, pada hemat saya keutamaan adalah pendidikan keluarga.

Biarlah saya yang membayar gaji bulanan isteri, membayar denda Kementerian dan menyediakan segala kemudahan bagi isteri termasuk sebuah kereta agar beliau mampu menjalankan tugasannya dengan cemerlang.

Saya tidak mengatakan cara saya adalah yang terbaik lalu menafikan atau mengkitik sebarang pendirian anda yang berbeza. Masing-masing terpulang kepada target dan objektif serta prinsip masing-masing. Ia hanyalah satu contoh betapa pentingnya kita berpegang dengan prinsip dan ilmu yang kita yakini, dalam waktu yang sama kita masih perlu menghormati prinsip dan pendirian orang yang lain dari kita selagimana ia tidak mencarik hukum Islam.

Sebagai ketua keluarga, saya akan berusaha dengan lebih kuat bagi menampung semua keperluan itu. Demi prinsip ilmu yang saya pegang, demi mencapai objektif anak soleh yang saya inginkan, saya harus berkorban tenaga dan minda. InshaAllah setakat ini Allah membukakan jalannya. Anda juga tentu boleh.

Sistem SMS 33221 Yang Zalim

"Ustaz, apa hukum system sms 33221 ustaz ini, bukankah ia juga riba kerana zalim" demikian bunyi satu sms yang dihantar dan juga email yang menyerang system sms soal jawab hukum.

"ustazlah orang pertama yang jual agama melalui sms, bolehlah jadi cepat kaya ye" satu lagi bentuk sms yang tembus ke kotak sms saya.

Bersusah payah saya menolak tawaran gaji puluhan ribu ringgit, bersusah payah juga saya meminta isteri saya berhenti kerja dan membayar denda RM 53000 kerana prinsip Islam yang saya pegangi. Berpuluh ribu ringgit jumlah tuntutan tidak saya tuntut hanya kerana ingin membersihkan pendapatan, tiba-tiba hanya kerana RM 0.50 sen bagi satu sms saya korbankan prinsip saya..?

Bagi sms pertama, Riba??.

"Apa jenis ribanya, sudikah anda memberikan nasihat kepada saya?" saya membalas kembali sms pertama. Kali ini tidak berjawab lagi.

Hakikatnya, tiada sebarang riba di sana kerana upah RM 0.50 setiap satu balasan itu adalah halal menurut ijma' ulama kerana ia adalah berdasarkan konsep ‘Al-Kasb', salah satu antara tiga cara halal bagi memperolehi pendapatan menurut Shariah. Ia juga tidak mampu mengkayakan saya, hanya cukup menampung kos pembiayaan web zaharuddin.net ini sahaja.

Bagi mewujudkan system 33221 ini, saya telah membayar RM 1000 untuk sistem ini. Ia memberikan ruang khas kepada para penyoal yang serius. Sudah letih minda saya diganggu dengan soalan tidak serius lagi bermain-main. Dengan wujudnya system ini, ia mampu menangkis penyoal tidak serius.

Secara purata, jumlah kos bersih yang sampai kepada saya setelah dibayar kos Celcom, Maxis, Digi, dan kos bulanan operator X wave Sdn Bhd, hanyalah sekitar RM50-150 sebulan. Inikah jumlah yang dimaksudkan untuk mengkayakan saya?? Tidak sama sekali.

Namun, system ini juga ada kelemahannya, saya juga adakalanya tidak puas hati kerana cajnya adakala rosak, ada yang dicaj lebih, ada yang tidak dicaj langsung. Pihak X Wave sdn Bhd gagal memperbetulkannya kerana kesilapan bukan di pihak mereka, polisi Kerajaan Malaysia yang mengubah polisi dan caj itu ini menyebabkan CELCOM, MAXIS dan DIGI turut terpaksa mengubah polisis caj mereka, akhirnya system kelam kabut sebentar. Jawapan yang saya beri tidak sampai, soalan yang dihantar juga banyak tidak sampai kepada saya, dan pelbagai lain.

Saya pula tidak cukup masa untuk menyemak hal-hal teknikal. Saya HANYA mampu menyediakan jawapan itu pun sudah amat banyak mengambil tenaga saya.

Justeru, jika anda pernah terkena atau mendapat bil-bil dari 33221 yang agak tidak munasabah. DENGAN SUKARELANYA SAYA MENGISTIHARKAN AGAR sesiapa yang merasakan terzalim dek sistem yang bukan dikawal oleh saya ini untuk menghantar nombor akaun anda dan jumlah yang patut saya pulangkan, juga nombor hand phone yang anda gunakan untuk menghantar sms tersebut (untuk disemak). DIHARAP ANDA DAPAT email ke tibyan2006@gmail.com . Nanti pihak Tibyan akan memaklumkan kepada saya.

InshaAllah saya akan bank in jumlah yang anda rasakan dizalimi itu.

Sistem ini saya wujudkan bagi menambah manfaat akhirat saya, bukan membebankan saya. Jika anda tidak menghantar info ke email saya, saya amat mengharapkan agar ianya dihalalkan. Ini adalah hujah saya di hadapan Allah kelak, saya sudah memaklumkan dan membuka ruang sebagaimana baginda Nabi s.a.w memberi ruang kepada para sahabatnya untuk menuntut sebarang harta dan hak yang terambil tanpa sengaja oleh baginda.

Sms kedua lebih pelik, bukan ilmu yang saya jual tapi caj itu adalah untuk masa, ‘service' atau khidmat sistem sms bantuan masalah agama dan kaunseling yang ditawarkan. Jika ini dikatakan jual agama, maka semua imam, tok bilal, penulis kitab, guru dan pensyarah agama di sekolah & universiti, penasihat Shariah di institusi kewangan Islam seluruh dunia, motivator Islam, Mufti, Kadhi, Hakim Sya'ie dan ramai lagi turut menjual agama.

Isu ini telah dibincangkan panjang lebar oleh ulama silam dan kontemporari. Majoriti fatwa ulama secara sepakat menyebut pendapatan dari tugasan sebegini adalah halal. Banyak dalil dan hujjah yang disertakan tetapi bukan masa untuk saya utarakan di ruang ini.

Jumlah RM 50-150 itu pula bukannya boleh saya gunakan untuk peribadi, ia hanya cukup untuk menbayar pengendali server web zaharuddin.net sebanyak RM 200 sebulan. Semua ilmu di web ini pula boleh dibaca tanpa sebarang bayaran, walaupun ia adalah hasil kajian, minda dan mengambil banyak masa saya.

Mengundur ke belakanglah saya jika hanya kerana RM 50-150 sebulan dari sistem ini yang lebih saya utamakan dari tawaran gaji bulanan berbelas dan berpuluh ribu ringgit.

Mengidam Pahala Macam Sahabat?

Inilah yang amat patut kita jadikan sumber inpirasi kita dalam merancang kerjaya dan masa. Nabi saw bersabda :

بَلْ ائْتَمِرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَتَنَاهَوْا عن الْمُنْكَرِ ...فإن من وَرَائِكُمْ أَيَّامَ الصَّبْرِ الصَّبْرُ فيه مِثْلُ قَبْضٍ على الْجَمْرِ لِلْعَامِلِ فِيهِمْ مِثْلُ أَجْرِ خَمْسِينَ رَجُلًا يَعْمَلُونَ مِثْلَ عَمَلِهِ وَزَادَنِي غَيْرُهُ قال يا رَسُولَ اللَّهِ أَجْرُ خَمْسِينَ منهم قال أَجْرُ خَمْسِينَ مِنْكُمْ

Ertinya : Serulah manusia ke jalan kebaikan dan laranglah mereka dari jalan makisat dan mungkar...kelak di akhir zaman akan samapi satu masa dimana orang yang yang sabar (dalam menjalankan tugas amar makruf nahi mungkar) seperti menggengam bara api, manakala orang yang masih terus berjuang dan berkejra (ke arah memperbaiki manusia) maka ganjarannya adalah seperti 50 orang lelaki yang beramal seperti seperti amalan mereka.

Kemudian baginda nabi ditanya : "Wahai rasulullah, maksud kamu 50 lelaki dari kalangan merekakah ? "

Jawab baginda : " 50 lelaki dari kalanganmu ( sahabat)" ( Abu Daud, 4/124 ; Tirmizi, 5/257 ; Ibn Kathir, 2/110 ; Ibn Hibban : Sohih ; Tirmidizi : Hasan Gharib)

Imam Ibn Abd Barr berkata hadis ini menunjukkan kemampuan orang di zaman akhir selepas zaman sahabat untuk perolehi kedudukan sebahagian dari sahabat atau menjadi lebih afdhal dari sebahagiannya. Imam Izzudin Abd Salam pula menerangkan bahawa perkara ini dibina atas dua kaedah : 1) Setiap amalan soleh akan pasti melahirkan buah yang baik untuk si pelaku 2) orang yang mampu melaksanakan Islam diakhir zaman walalupun sehingga Nampak pelik dan ganjil, maka pelik dan ganjilnya itu adalah seperti di awal Islam dahulu ( justeru mereka berhak mendapat kebaiakan yang sama dengan mereka yang dia waal Islam). ( Tuhfatul Ahwazi, 8/337)

Adakah kita tidak ingin cuba berusaha memperolehi kebaikan ini?. Rancanglah kerjaya dan utamakan wang akhirat dari wang dunia.

Akhirnya, Selamat Meyambut Hari raya Idil Adha..korban harta dan perasaan demi mencapai redha Allah SWT. Ya Allah terima amalan hamba-hambamu di hari mulia ini dan ampunilah kesilapan kami yang sengaja dan yang tidak disengajakan. AMinn

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

0 Comments:

Post a Comment

<< Home